Syukur Alhamdullillah,
*PROGRAM JOM NGAJI 2023 – Anjuran ISUFOM KL bersama Sheikh Dr Usamah Mohammad Iqbal*
*Sesi 1 – 20hb Januari 2023 @ 9pm*
Segala Pujian bagi Allah SWT dan Shalawat serta Salam buat Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW.
SEGALANYA bermula dengan pertemuan dengan Sheikh Dr Usamah di Surau An Nur. Aturan Allah SWT itu sangat indah. Setiap yang terjadi ada hikmah. Yakinlah dengan takdir Allah SWT.
Ketika itu, memang hasrat dan visi ISUFOM KL adalah untuk menganjurkan program Jom Ngaji 2023. Kehadiran Sheikh Dr Usamah memantapkan lagi program ini kerana Sheikh mempunyai kepakaran luar biasa di dalam ilmu penguasaan bacaan Ayat Al Quran. Kami mempelawa Sheikh untuk datang mengajar, membantu dan membimbing sahabat Mualaf kami dalam program Jom Ngaji dan beliau bersetuju tanpa syarat apa pun. Rezeki kami di ISUFOM KL.
SHEIKH berpesan, mempelajari al-Quran tidak boleh dilakukan secara terburu-buru kerana sahabat Rasulullah SAW sendiri menghafaz ayat sedikit demi sedikit sesuai cara al-Quran diturunkan, iaitu berperingkat-peringkat. Beliau sendiri menguasai ayat suci Al Quran Al Fatihah mengambil masa 7 bulan.
Pesanan SHEIKH pada sahabat Mualaf, memelihara al-Quran dengan baik termasuk menjaga bacaannya mengikut cara bacaan sebenar menjadi sunnah yang sepatutnya dikuasai umat Islam.
Sebagai mukjizat teragung Rasulullah SAW dan panduan dalam kehidupan umat Islam, al-Quran mempunyai banyak kelebihan kepada pendampingnya.
Rasulullah SAW bersabda: Dan tidak ada suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah, lalu mereka membaca kitab Allah dan mempelajarinya sesama mereka, melainkan ketenangan akan turun kepada mereka, rahmat meliputi mereka, malaikat akan menaungi mereka dan Allah akan menyebut mereka di hadapan malaikat di sisi-Nya. (HR Muslim)
Ya’la ibnu Mamlak RA meriwayatkan beliau bertanya kepada Ummu Salamah RH mengenai cara Nabi SAW membaca al-Quran, lalu beliau menunjukkan sifatnya dengan satu bacaan yang jelas satu huruf demi satu huruf. (HR Abu Daud)
Alhamdullillah, Sesi pertama berjaya dilaksanakan. Sahabat Mualaf kami, melalui temuduga ringkas selepas program, menyatakan perasaan gembira dan betapa bermanfaat program ini pada mereka. BERBEZA, EFEKTIF & MUDAH DIFAHAMI.
Orang beriman yang sentiasa menjaga al-Quran, Allah SWT akan memelihara mereka seperti sabda Rasulullah SAW: Bacalah al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sambil memberikan syafaat kepada pembacanya. (HR Muslim)
Tahniah ISUFOM KL
Bro Azhar Soo
20.1.23